Thursday, June 17, 2010

GPMS DESAK KERAJAAN TERUSKAN PEMBERIAN BIASISWA JPA

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah menuntut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan Malaysia untuk meneruskan pemberian biasiswa JPA bagi memastikan pelajar-pelajar mendapat manfaat dari segi kualiti pendidikan di universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim berkata, cadangan untuk menghentikan pemberian biasiswa ini tidak relevan dan tidak bersesuaian dengan polisi, dasar dan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Sehubungan dengan itu, GPMS menuntut peruntukan biasiswa JPA mestilah diberikan mengikut konsep kouta kaum iaitu sekurang-kurangnya 66% kepada pelajar Melayu atau Bumiputera.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan jaminan pelajar-pelajar Melayu mendapat biasiswa berdasarkan kedudukan ekonomi orang Melayu pada hari ini amat menuntut kerajaan meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar Melayu.

“Kita sedia maklum jumlah golongan profesional Melayu dan Bumiputra adalah masih jauh lebih kecil kalau di bandingkan dengan jumlah bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang sudah lama mendapat “head start” sejak dari zaman penjajahan lagi.

Untuk merapatkan jurang “human capital” atau modal insan yang terlatih lagi canggih ini aspek pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting sekali bagi meramaikan bijak pandai Melayu,” ujarnya ketika menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan tetap dengan keputusannya untuk mengurangkan penghantaran pelajar tempatan ke luar negara melalui biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula tahun depan. Kerajaan telah mengambil kira semua faktor melibatkan perkara itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan, kerajaan tetap dengan keputusan untuk mengurangkan penghantaran dan beri biasiswa Mungkin apabila keadaan ekonomi berubah dan kerajaan ada dana yang cukup, beliau percaya sudah tentu kerajaan akan belanja lebih untuk membiayai pelajar ke luar negara.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan mengambil kira setiap tuntutan dan kehendak rakyat termasuk untuk sektor pendidikan. Kita sudah pertimbangkan sehabis baik keputusan ini. Tidak mudah untuk melakukannya, tetapi apa yang diputuskan itu juga adalah demi kepentingan tahap pendidikan tinggi di negara ini,” ujar selepas menerima memorandum daripada GPMS.

Bumiputera dapat 56% agihan biasiswa JPA

Dalam pada itu, Mohamed Nazri menjelaskan, pemberian biasiswa JPA yang melibatkan 1,500 pelajar di seluruh negara pada tahun ini adalah sangat adil dengan mengikut fakta-fakta yang relevan. Berdasarkan merit pelajar, seramai 300 pelajar bumiputra dan 241 bukan bumiputra telah diberikan biasiswa JPA. JPA telah mengagihkan 2,850 biasiswa untuk pelajar ke luar negara tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 56 peratus daripada jumlah itu adalah untuk bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, manakala selebihnya adalah untuk bukan bumiputera.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Mohamed Nazri berkata, pengagihan biasiswa itu berdasarkan empat kategori iaitu merit, kaum, bumiputera Sabah dan Sarawak serta latar belakang sosial.

Bagi kategori merit, katanya, sebanyak 59 biasiswa (20 peratus) diagihkan kepada bumiputera, manakala 241 biasiswa (80 peratus) untuk bukan bumiputera. Bagi kuota kaum, bumiputera menerima 557 biasiswa berbanding 343 biasiswa kepada bukan bumiputera.

Sebanyak 150 biasiswa lagi diagihkan kepada bumiputera Sabah dan Sarawak, manakala 1,500 biasiswa lagi mengikut latar belakang sosial penerima iaitu 843 untuk bumiputera dan 657 untuk bukan bumiputera.

No comments:

Post a Comment