Friday, April 30, 2010

LAWATAN KE RUMAH ALLAHYARHAM ADIK AMINULRASYID AMZAH

Dengan hormatnya dimaklumkan, Saudara Rosdi Amir, Timbalan Presiden GPMS bersama barisan AJK GPMS Negeri Selangor dijadualkan membuat lawatan ke rumah Allahyarham Adik Aminulrasyid Amzah, mangsa yang terbunuh akibat terkena tembakan anggota polis baru-baru ini di Shah Alam.

Jadualnya adalah seperti berikut:

Tarikh : SABTU, 01 Mei 2010

Masa : 10.00 am

Tempat : Seksyen 9, Shah Alam

(Rujukan: Saudara Mohd Rashidi – 0172025735)

Wednesday, April 28, 2010

GPMS Selangor simpati dengan keluarga adik Aminulrasyid


Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor simpati dengan apa yang menimpa keluarga Aminulrasyid Amzah,15 yang meninggal dunia akibat terkena tembakan polis peronda apabila remaja tersebut cuba melarikan diri selepas diarahkan memberhentikan kereta.

GPMS Selangor berharap agar semua pihak khususnya keluarga Allahyarham agar dapat bersabar dan bertenang sehingga siasatan selesai.

GPMS yakin dengan integriti polis yang berjaya mengawal ketenteraman awam selama ini. Pada masa yang sama, pihak kami meminta kerajaan khususnya pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes ini secara terperinci dan telus bagi memastikan keadilan kepada mereka yang terbabit.

Dalam hal ini, PDRM hanya menjalankan tugas untuk mencegah kes-kes jenayah, mengelakkan sebarang kemungkinan yang berlaku di dalam kawasan perjiranan, oleh itu kita tidak harus menyalahkan pihak polis sahaja dalam hal ini sedangkan mangsa cuba melarikan diri ketika diarahkan polis untuk memberhentikan kenderaannya.

Pihak berwajib perlu menyiasat mengapa mangsa melarikan diri dan engkar arahan polis selain menyiasat rakan mangsa yang keluar dari kenderaan apabila kenderaan tersebut berjaya disekat pihak berkuasa.

Saya yakin, kita juga akan menyalahkan polis dan pihak berkuasa lain sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan kita. Oleh itu, semua pihak khususnya masyarakat tidak memandang serong kepada tindakan polis dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

GPMS Selangor juga meminta pihak-pihak tertentu untuk tidak mempolitikkan kes adik Aminulrasyid Amzah ini, dengan membuat tuduhan-tuduhan atau spekulasi yang bertujuan mengeruhkan lagi keadaan.

Tuesday, April 27, 2010

PERLUASKAN PROGRAM RAKAN MUDA KE PERINGKAT SEKOLAH

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Jangan biarkan anak ini terus dengan ‘dunia’nya. Berikan nafas baru kepadanya dan rakan seangkatan dengannya, agar belia yang lahir di masa hadapan adalah belia yang berjaya dunia dan akhirat.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor mencadangkan dan pertimbangan sewajarnya dari Kementerian Belia dan Sukan untuk terus memperkenalkan program Rakan Muda pada peringkat sekolah sebagai satu cabang baru dalam kokurikulum untuk membolehkan program itu lebih dekat dengan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, GPMS berharap agar tindakan dan langkah segera diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pelajaran supaya pelaksanaannya lebih tersusun.

Kita melihat langkah tersebut ibarat melentur buluh bermula dari rebungnya, di mana segala usaha untuk melahirkan generasi muda yang gemilang, generasi muda yang bebas dari gejala sosial bermula dari peringkat sekolah lagi, kerana di peringkat inilah golongan muda mudah terdedah dengan gejala tidak sihat, umpamanya rokok, dadah dan gejala sosial yang lain.

Jika golongan ini tidak mula didekati bermula di peringkat sekolah, kita yakin pelajar-pelajar yang mempunyai pendidikan sempurna akan berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka, namun mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan mereka, akan mudah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya.

GPMS memandang serius isu disiplin dan masalah sosial dikalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan. Sehubungan dengan itu, semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk bersama-sama berganding bahu memerangi isu masalah disiplin dan sosial di kalangan pelajar sekolah.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji. Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. GPMS berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh itu, pendekatan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperluaskan program Rakan Muda ke sekolah merupakan satu langkah terbaik untuk pelajar mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. GPMS menyarankan akar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran memperbanyakkan aktiviti yang boleh menarik minat golongan belia menceburinya.

Golongan belia khususnya pelajar sekolah perlu diberi suntikan baru dengan ‘disogok’kan program-program baru dan segar. Dalam masa yang sama, kementerian juga harus mencari alternatif yang boleh meransang minat belia menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari mereka. Penerapan semangat "Yakin Boleh" dikalangan anak muda adalah amat penting bagi membentuk generasi pelapis yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan daya juang yang kental.

Suntikan semangat kembara dan meneroka sesuatu yang baru amat penting bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment pada masa hadapan. Semangat untuk menjadi perintis dalam sesuatu penerokaan baik di laut, gunung-ganang, hutan rimba, gua atau udara amat penting bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang-orang Melayu khususnya generasi muda juga mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kita harus sedar, generasi muda merupakan golongan majoriti penduduk negara. Dijangkakan pada tahun 2020, penduduk yang berumur 15-39 tahun akan meningkat kepada 9.2 juta orang. Golongan ini mempunyai keupayaaan yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal. Oleh itu, satu pembangunan yang sihat perlu diberikan supaya mereka menjadi manusia yang berilmu, beragama, bermoral tinggi, produktif, cergas, sihat dan bertanggungjawab.

Dalam konteks menuju perubahan inilah maruah dan martabat bangsa hendaklah dibangunkan secara gigih clan diperjuangkan secara global kerana kekuatan maruah dan martabat bangsa secara menyeluruh akan membawa impak kearah pembentukan bangsa dan tamadun yang lebih gemilang. Seluruh persiapan zahir dan batin perlu disediakan untuk generasi muda bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment masa depan.

Oleh itu, anak muda hari ini perlu dibekalkan dengan ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai¬-nilai mumi. Dengan memiliki ciri-ciri tersebut akan dapat melahirkan satu tenaga kepimpinan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mantap bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Saturday, April 10, 2010

Memorandum Bantahan Pemindahan FBSH

Oleh: Nik Fathurahman
(YDP GPMS Unisel Shah Alam)

Assalamualaikum, salam sejahtera, dan salam perjuangan.

Terlebih dahulu izinkan kami memanjatkan rasa kesyukuran kami kepada segala nikmat dikurniakan oleh-NYA semoga Allah SWT merahmati perjuangan kita dan terus memberi hidayah agar kita menuju ke jalan yang diredhai-NYA.

Terpanggil kami untuk mengarang utusan tidak seberapa ini bagi menjelaskan beberapa perkara yang mungkin sedikit kabur dimata dan hati sahabat-sahabat sekalian. Satu memorandum bantahan perpindahan Fakulti Bioteknologi dan Sains Hayat (FBSH) telah dihantarkan kepada Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSAKI) baru-baru ini, berikut butir-butirannya:

Perkara: Penghantaran Memorandum Bantahan Pemindahan FBSH kepada MB TSAKI.
Anjuran: Students of Biotechnology and Life Sciences (SOBALS)
Tarikh: 7 April 2010
Masa: 8.30 am
Tempat: Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah @ SUK

Disini ingin dinyatakan bahawa GPMS UNISEL SA bukanlah penganjur memorandum ini. Ianya dibuat oleh kepimpinan SOBALS atas sokongan majoriti pelajar FBSH (menurut tandatangan yang dikumpulkan dalam memorandum) yang bimbang kebajikan mereka akan terabai jika sekiranya berlaku perpindahan fakulti mereka secara terburu-buru ke kampus Bestari Jaya (BJ). Gerakan ini dipimpin oleh Presidennya, saudari Natrisya Nur. Penglibatan GPMS UNISEL SA hanyalah sekadar memberi sokongan serta bantuan atau nasihat. Walaubagaimana pun, Pemangku Yang Dipertua (YDP) kami, saudara Nik Fathurahman Nik Rasli, yang juga merupakan pelajar tahun akhir fakulti tersebut telah dilantik oleh kepimpinan SOBALS sendiri untuk bersama-sama mereka memperjuangkan isu tersebut. Seketariat Khas Gerakan Pelajar ini juga dianggotai oleh wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNISEL serta representatif dari persatuan Indian Cultural and Language Society (ICLS) UNISEL.

Gabungan empat entiti ini telah mengutuskan hasrat mereka melalui satu memorandum yang menerangkan dengan jelas tentang isu pemindahan itu. Memorandum ini juga ditandatangani oleh majoriti pelajar fakulti bioteknologi iaitu lebih dari 400 orang pelajar. Penting untuk dibentangkan disini bahawa pelajar-pelajar bukanlah tidak bersetuju secara bulat-bulat terhadap perpindahan ini, tetapi akan akur dengan keputusan pihak atasan UNISEL itu jika kemudahan, kelengkapan serta peralatan makmal disana mencukupi dan disediakan sepenuhnya SEBELUM berpindah.

Difahamkan lagi, pelajar melahirkan rasa bimbang jika sekiranya mereka berpindah dan kelengkapan makmal serta kemudahan pembelajaran belum lagi tersedia, hasrat mereka untuk mempelajari ilmu praktikal makmal akan terbantut lantaran melahirkan satu generasi produk UNISEL yang sayu kualitinya. Bagi pengetahuan umum, 90% silibus pembelajaran pelajar fakulti bioteknologi berkisar penggunaan makmal dimana selebihnya melibatkan mata pelajaran seperti Pemasaran, Kokurikulum, Matematik dan sebagainya. Peralatan makmal bioteknologi untuk kegunaan industri juga sering keluar dengan pelbagai produk baru yang lebih berteknologi tinggi dan "state of the art" hampir setiap tahun. Fakulti Bioteknologi pula telah bertapak di UNISEL hampir 10 tahun lamanya dengan menempah pelbagai kejayaan dan pencapaian yang memberangsangkan sehingga kini.

Pihak SOBALS juga khuatir dengan isu jumlah kos yang diperuntukkan bagi pemindahan ini. Menurut sumber, kos pemindahan dijangka mencecah RM8 juta atau lebih, dimana jumlah yang sama boleh diguna pakai bagi tujuan menaiktaraf kemudahan yang sedia ada di kampus Shah Alam. Lebih membimbangkan lagi apabila diumumkan baru-baru ini tentang defisit UNISEL yang mencecah hampir RM20 juta. Perlu umum mengetahui bahawa peralatan makmal bioteknologi amat sensitif dan mudah rosak jika tidak dikendalikan dengan baik. Logistik pemindahan tersebut juga memerlukan ianya dikelola oleh kontraktor terpilih yang arif tentang sensitiviti barang makmal. Mana-mana kontraktor akan memberitahu perkara yang sama, malah tidak akan mengambil kontrak pemindahan jika barangan tersebut tidak didatangkan bersama insurans yang sewajarnya.

Maka itu, kebimbangan mereka amat berasas sekali. Perkara yang sama berlaku kepada pelajar-pelajar fakulti kejuruteraan UNISEL dimana sejumlah besar mereka terpaksa menangguhkan semester pembelajaran mereka sementara menunggu peralatan bengkel@makmal mereka siap dipasang, dibeli atau dipindahkan. Adakah pihak atasan UNISEL mahu berpindah juga walaupun makmal belum lagi siap sepenuhnya? Adakah pelajar perlu akur dengan pembelajaran yang berkisar teori didalam kelas semata-mata? Apakah slogan UNISEL "Meeting Industrial Needs" hanya omong-omong kosong? Tidakkah wujud satu tempat dihati sanubari mereka untuk betul-betul memahami dan menyelami rintihan pelajar-pelajar mereka walau fakulti apa pun mereka berada? Tidakkah anak-anak pejuang masa hadapan kita ini punya hak untuk mendapatkan yang terbaik dari universiti yang terbaik?

Izinkan kami menyatakan rentetan atau kronologi yang membawa kepada penyerahan memorandum ini bagi menjelaskan kepada sahabat-sahabat sekalian mengapa pelajar-pelajar fakulti bioteknologi UNISEL berbuat demikian. Memo pemindahan fakulti bioteknologi telah dikeluarkan oleh pihak UNISEL pada awal tahun ini, tiada perkembangan kerja-kerja pemindahan atau naiktaraf makmal di BJ. Seterusnya AJK SOBALS naik untuk berjumpa pihak atasan bagi menjelaskan isu perpindahan serta berbincang tentang perkara tersebut, tiada perkembangan kerja-kerja pemindahan atau naiktaraf makmal di BJ. Kesinambungan dari perjumpaan tersebut, SOBALS menganjurkan satu sesi bersama para pensyarah dan dekan fakulti sendiri dengan pelajar, tiada perkembangan kerja-kerja pemindahan atau naiktaraf makmal di BJ. Seterusnya dialog diadakan bersama Naib Canselor (NC) serta Timbalan NC (TNC) dengan pelajar, juga tiada perkembangan kerja-kerja pemindahan atau naiktaraf makmal di BJ (UNISEL mempunyai tiga orang TNC: TNC HEP, TNC Pembangunan dan TNC HEA yang mn hanya TNC HEP yang hadir). Beberapa sesi perjumpaan bersama pihak kanan UNISEL diadakan bersama AJK SOBALS,sedihnya,sehingga kini, masih tiada perkembangan kerja-kerja pemindahan atau naiktaraf makmal di BJ. Masa kian suntuk dan tinggal hanya dua bulan sahaja sehingga tarikh perpindahan.

Namun ada sinarnya apabila lapan buah makmal yang luas dan mampu menampung kapasiti pelajar yang agak ramai tersedia di kampus BJ. Untuk makluman, pihak SOBALS ada membuat lawatan ke kampus BJ bagi menyaksikan sendiri makmal-makmal yang tersedia disana sebanyak dua kali, masing-masing pada awal tahun dan sekali lagi pada bulan Mac yang lepas. Menurut mereka, tiada sebarang perkembangan disaksikan sepanjang mereka memantau keadaan disana. Malah, timbul pula isu struktur bangunan yang kurang sesuai dan tidak selamat untuk diduduki. Gambar-gambar telah diambil bagi menunjukkan bukti kepada pelajar. Tersentak dan kelu seketika pelajar bioteknologi apabila mendapati makmal masih lagi menggunakan kipas angin bagi sistem pengudaraan makmal mereka. Sistem pengudaraan yang sama digambarkan disekolah-sekolah rendah dan menengah diserata tanah air. Apakah penasihat-penasihat reka bentuk makmal yang dilantik dan dibayar pihak UNISEL ini terlupa konsep "sterile", "aseptic conditions" dan "Standard Operating Procedures"? Itu belum pun lagi menyentuh aspek-aspek lain makmal tersebut, peralatan dan sebagainya. Gambar yang sama juga ditunjukkan kepada NC dan TNC HEP pada dialog seperti yang disebut, namun reaksi dan alasan mereka menghampakan sehinggakan sebilangan pelajar bertindak keluar dari majlis tersebut tanda protes. Lawatan yang dibuat baru-baru ini pula menyaksikan keadaan makmal masih dalam keadaan seperti yang disaksikan pada lawatan pertama.

Sumber dari SOBALS menyatakan bahawa isu ini berulang-ulang kali cuba diketengahkan kepada YB Halimah, Exco Pendidikan Negeri Selangor. Namun usaha tersebut menemui jalan buntu setelah lebih dari sebulan cuba untuk mendapatkan reaksi pihak beliau. Akibat rasa terpinggir dan tidak diendahkan baik pihak UNISEL mahupun mana-mana pihak bertanggungjawab yang lain, SOBALS memilih untuk menghantar satu memorandum bantahan perpindahan kepada MB TSAKI dengan harapan beliau perihatin kepada masalah yang membelenggu anak-anak bangsanya. Memorandum ini bukan dihantar bagi mengaibkan atau menjatuhkan mana-mana pihak, tapi dihantar atas dasar bimbang kebajikan pelajar akan terabai dan bagi mengelakkan hak pelajar untuk mendapatkan pengajian yang sempurna tidak disalah guna pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Jika betul UNISEL jujur dan ikhlas dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti tinggi, mengapa tidak mengendahkan rintihan pelajar-pelajar ini yang punya asas dan bukti serta sebab-sebab yang kukuh mengikut definisi mana-mana pihak sekalipun? Apakah kami pelajar kami tidak punya sifat yang cukup matang untuk mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk? Adakah umur kami yang menjadi batu pengukur pihak yang mengadili kami? Apakah memperjuangkan hak itu mainan mereka dari kalangan orang-orang yang punya kerja, anak-anak, kereta atau rumah tangga sahaja? "First class students" yang cuba dilahirkan tetapi dengan hak kelas ketigakah?

Pihak GPMS UNISEL SA mengalu-alukan sebarang tindakan positif yang bakal dilakukan pihak universiti. Kami serta seluruh warga fakulti bioteknologi akan menyokong sepenuhnya perpindahan ini jika UNISEL mampu menyediakan fasiliti, kemudahan dan infrastruktur yang sempurna bagi pelajar seperti yang dijanjikan. Ucapan syabas kami dahulukan kerana kami amat yakin pihak UNISEL mampu melakukannya. Jikalau tidak mampu maka kami menawarkan bantuan kami selagi mana kami mampu dan janji kami akan terus membantu selagi perkara ini tidak memihak kepada kebajikan pelajar. Bersama-samalah kita membina sebuah universiti yang tersohor dimata dunia bukan sahaja dari aspek akademik tapi dari semua aspek agar pencapaian yang lebih holistik mampu digapai.

Apa sekalipun, masa akan mendedahkan kebenaran dan yang benar itu tetap akan timbul dari kolam yang sarat dengan kekotaran ketidakadilan mereka yang hanya tahu menabur janji-janji retorik. Bau busuknya pasti membangkitkan kesedaran untuk membersihkan daki-daki penyelewengan. Jerawat-jerawat penipuan akan menggelembung dan diakhirnya pecah di muka si pendusta hanya untuk ditatap dengan perasaan mual dan jijik. Belajar dan terus belajar. Sekian.

Wednesday, April 7, 2010

Pelajar mahu Fakulti yang lengkap....bukan sebab jauh....






Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor kecewa dengan laporan laman portal Malaysiakini yang tidak cekap dan berat sebelah terhadap isu aduan dan penghantaran memorandum para pelajar Fakulti Bioteknologi dan Sains Hayat (FBSH), Sesi Julai 2010 Unisel Shah Alam mengenai pemindahan FBSH ke kampus Induk di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Laporan Malaysiakini seolah-olah menyalahkan pelajar kononnya tidak mahu berpindah ke Bestari Jaya kerana kampus induknya berkenaan terletak agak jauh daripada bandar.

GPMS Selangor sendiri sudah beberapa kali berbincang dengan kumpulan pelajar ini, mereka bukannya tidak mahu berpindah malah sudah bersedia untuk berpindah mengikut pelan asal perpindahan.

Menurut makluman awal pihak fakulti dan pengurusan tertinggi UNISEL, mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk memindah FBSH secara berperingkat dan bersistematik. Proses pemindahan dijangka selesai pada akhir semester sesi Julai 2010 (mahasiswa/i FBSH tahun akhir akan dipindahkan pada semester Januari 2011).

Perkara yang dibangkitkan oleh para pelajar bidang bioteknologi merupakan satu bidang yang penting dan mempunyai daya saing yang tinggi di dalam industri. Kemudahan prasarana yang selesa dan lengkap dengan peralatan yang canggih dan mencukupi adalah amat diperlukan oleh semua warga FBSH dalam memacu kemajuan intelektual dan penyelidikan yang berimpak tinggi. Tetapi malangnya, FBSH akan hanya menumpang di Fakulti Sains Dan Teknologi Alam (FSTA) dan bukannya di bangunan fakulti sendiri.

Hasil dari pemantauan pihak Student of Biotechnology and Life Sciences (SOBALS), hanya terdapat lapan 8 buah makmal sahaja yang telah dikhususkan untuk FBSH dan ianya kosong tanpa satu pun peralatan yang diperlukan. Malah, jumlah tersebut adalah tidak mencukupi bagi menampung jumlah penuntut semasa sesi amali berlangsung. Di samping itu, kerja-kerja penyelidikan juga akan mengalami kesukaran kerana lokasi FBSH yang jauh. (Kesukaran membawa sampel-sampel organ dan sel yang sensitif ).

Persoalan yang timbul adalah:

1. Apakah dalam jangka masa yang singkat ini, kemudahan pembelajaran (makmal dan peralatan-peralatannya) dapat disediakan (sama ada lebih baik atau lebih teruk dari kampus Shah Alam) agar perjalanan proses pembelajaran dapat berlangsung tanpa wujudnya sebarang permasalahan akibat dari pemindahan yang tergesa-gesa.

2. Adakah proses pembelajaran dan perjalanan pengurusan FBSH akan menjadi lebih efektif dan berdaya saing walaupun hanya sekadar menumpang di bangunan FSTA, walaupun tanpa adanya bilik untuk pensyarah-pensyarah FBSH di kampus Bestari Jaya (sehingga kini)?

3. Apakah motif sebenar pemindahan FBSH yang ingin dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi setelah sekian lama isu ini tidak dibangkitkan? Sejak pengurusan Pakatan Rakyat mengambil alih UNISEL, tiada juga penambahbaikan peralatan-peralatan makmal yang berlaku.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor mohon pihak Malaysiakini dan pihak media yang lain dapat membuat laporan yang sebenar tentang isu yang dibawa oleh para pelajar ini.

GPMS Selangor juga memohon kefahaman dan kerjasama yang sebaiknya kepada pihak Unisel dan Kerajaan Negeri khusunya Menteri Besar Selangor sendiri berhubung bantahan para pelajar ini demi kebaikan bersama.

DAP Perlu Tunai Janji Terlebih Dahulu (SH-Sentral, 6 April 2010)

GPMS Selangor Kecam Guan Eng (UM,ms13 - 6 April 2010)

Monday, April 5, 2010

Jangan Sekadar Janji Politik, tapi tak mampu tunaikan......

Oleh: MOHD FAIZAL MOHD SALLEH

GPMS Selangor mengecam kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam portal `malaysian insider’ yang cuba menyogok dan membeli undi warga emas dengan memberi RM1000 bagi mengundi Pakatan Rakyat pada PRU akan datang dalam memastikan pembangkang menang, seterusnya mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Ini jelas menunjukkan Dap tidak menghormati amalan demokrasi selain menghina pengundi di Malaysia. Undi bukan untuk dijual beli, kenyataan Lim Guan Eng ini jelas menunjukkan pembangkang dalam keadaan terdesak untuk mendapat semula keyakinan rakyat, khususnya dalam keadaan mereka yang mula hilang sokongan dan keyakinan sejak akhir-akhir ini.

Janji-janji Dap itu berunsur sogokan, membeli undi dan rasuah. GPMS Selangor cadangkan pakatan pembangkang tunai dulu janji-janji mereka terlebih dahulu. Banyak janji-janji dan harapan sebelum ini belum tertunai. Janji kalau tidak ditunaikan bermakna mereka bohong dan gagal mentadbir.

Lim sendiri pernah berjanji keadilan untuk semua tetapi peniaga Melayu tertindas di Pulau Pinang, termasuk di Permatang Pauh.

Dengan mengambil contoh janji-janji pakatan pembangkang di Selangor, antara janjinya ialah saguhati RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang berjaya ke menara gading dan rawatan klinik percuma kepada warga emas berusia 65 tahun ke atas. Turut dijanjikan peruntukan RM75 kepada setiap anak-anak yang dihantar ke tadika dan banyak lagi yang akan diajukan sebagai bantuan ikhlas kepada seluruh rakyat Selangor.

GPMS Selangor mohon agar Kerajaan negeri Selangor mengotakan semua janji seperti yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2008.

Calon Melayu lebih diterima pengundi: (SH, S3, 5 April 2010)