Thursday, May 27, 2010

BERGANDING BAHU KAJI MASALAH DISIPLIN DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS-Selangor) memandang serius isu disiplin dikalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan.

GPMS melahirkan kebimbangan dalam isu disiplin kerana ia menyebabkan fokus para pelajar kepada pelajaran mereka akan terganggu, khususnya apa yang berlaku di SMK Garing, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji.

Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. GPMS Selangor berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh yang demikian GPMS mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membendung masalah disiplin para pelajar dari terus berleluasa.

1. Perjumpaan berkala diantara ibu bapa para pelajar dengan pihak bagi memastikan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa terjalin bagi membincangkan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah.

2. Pertemuan para pelajar dengan pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan perlu diadakan dengan lebih kerap bagi mendapat penjelasan tentang masalah jenayah setempat yang sedang dihadapi dan kesannya kepada diri pelajar.

3. Mewujudkan kumpulan pemantau di antara guru, ibu bapa, pihak polis dan pelajar bagi memastikan para pelajar sentiasa dikawal.

4. Menjalankan kursus-kursus yang boleh memberi pendedahan kepada para pelajar tentang potensi yang ada pada diri masing-masing supaya mereka menumpukan sepenuh perhatian untuk berjaya dalam pelajaran.

Dengan cadangan langkah-langkah tersebut diharapkan masalah disiplin dikalangan para pelajar di sekolah-sekolah akan dapat di atasi.

Dalam masa yang sama, GPMS-Selangor menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini untuk memperkenalkan program Rakan Muda pada peringkat sekolah sebagai satu cabang baru dalam kokurikulum untuk membolehkan program itu lebih dekat dengan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, GPMS-Selangor berharap agar tindakan dan langkah segera diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pelajaran supaya pelaksanaannya lebih tersusun.

Kita melihat langkah tersebut ibarat melentur buluh bermula dari rebungnya, di mana segala usaha untuk melahirkan generasi muda yang gemilang, generasi muda yang bebas dari gejala sosial bermula dari peringkat sekolah lagi, kerana di peringkat inilah golongan muda mudah terdedah dengan gejala tidak sihat, umpamanya rokok, dadah dan gejala sosial yang lain.

Jika golongan ini tidak mula didekati bermula di peringkat sekolah, kita yakin pelajar-pelajar yang mempunyai pendidikan sempurna akan berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka, namun mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan mereka, akan mudah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya.

Oleh itu, pendekatan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperluaskan program Rakan Muda ke sekolah merupakan satu langkah terbaik untuk pelajar mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. GPMS menyarankan akar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran memperbanyakkan aktiviti yang boleh menarik minat golongan belia menceburinya.

Golongan belia khususnya pelajar sekolah perlu diberi suntikan baru dengan ‘disogok’kan program-program baru dan segar. Dalam masa yang sama, kementerian juga harus mencari alternatif yang boleh meransang minat belia menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari mereka. Penerapan semangat "Yakin Boleh" dikalangan anak muda adalah amat penting bagi membentuk generasi pelapis yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan daya juang yang kental.

Suntikan semangat kembara dan meneroka sesuatu yang baru amat penting bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment pada masa hadapan. Semangat untuk menjadi perintis dalam sesuatu penerokaan baik di laut, gunung-ganang, hutan rimba, gua atau udara amat penting bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang-orang Melayu khususnya generasi muda juga mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kita harus sedar, generasi muda merupakan golongan majoriti penduduk negara. Dijangkakan pada tahun 2020, penduduk yang berumur 15-39 tahun akan meningkat kepada 9.2 juta orang. Golongan ini mempunyai keupayaaan yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal. Oleh itu, satu pembangunan yang sihat perlu diberikan supaya mereka menjadi manusia yang berilmu, beragama, bermoral tinggi, produktif, cergas, sihat dan bertanggungjawab.

Dalam konteks menuju perubahan inilah maruah dan martabat bangsa hendaklah dibangunkan secara gigih dan diperjuangkan secara global kerana kekuatan maruah dan martabat bangsa secara menyeluruh akan membawa impak kearah pembentukan bangsa dan tamadun yang lebih gemilang. Seluruh persiapan zahir dan batin perlu disediakan untuk generasi muda bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment masa depan.

Oleh itu, anak muda hari ini perlu dibekalkan dengan ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai-nilai mumi. Dengan memiliki ciri-ciri tersebut akan dapat melahirkan satu tenaga kepimpinan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mantap bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Sunday, May 23, 2010

GPMS Selangor Cadang MB Selangor Bercuti sehingga siasatan kes pasir dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd selesai

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor gembira dengan sikap berani Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid yang menggalakkan sesiapa sahaja membuat laporan polis demi menjaga harta negeri atau membanteras penyalahgunaan kuasa termasuk membuat siasatan terhadap adiknya Hajiman yang didakwa mungkin terlibat dalam kes simbah cat merah di kediaman dan kenderaan Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam di Pekan Meru, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor juga menyambut baik kenyataan Penasihat PKR yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedia anak syarikatnya disiasat berhubung dakwaan salahguna kuasa dan korupsi dalam aktiviti perlombongan pasir itu. Kerajaan Selangor sedia disiasat oleh mana-mana pihak termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia asalkan ia dilakukan secara profesional dan telus.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor ingin mencadangkan kepada YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bercuti bertugas sebagai Menteri Besar Selangor bagi menjamin siasatan yang lebih telus oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) memandangkan isu ini dikatakan melibatkan adik beliau sendiri, Hajiman.

Bagi mengelakkan sebarang kecurigaan dari semua pihak bahawa Tan Sri Khalid akan mempengaruhi siasatan ini, maka Khalid diminta mengambil cuti sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.

Kita tidak mahu siasatan ini terganggu, semua pihak termasuk Tan Sri Khalid sendiri diminta memberi ruang kepada pihak polis, SPRM dan Selcat menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kes dakwaan kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Pada masa sama, GPMS Selangor mengharapkan tiada sebarang andaian dibuat berhubung kes itu sebaliknya menunggu hasil siasatan polis, SPRM dan Selcat terhadap pengadu dan juga suspek yang berkenaan.

Kita yakin dengan kematangan dan kemampuan pihak polis, SPRM dan Selcat tidak memerlukan tekanan mana-mana pihak agar siasatan dijalankan dengan adil dan profesional, kerana sebagai agensi penguat kuasa undang-undang yang profesional, pihak polis dan SPRM serta Selcat akan memastikan kedua-dua pihak iaitu pengadu selaku mangsa dan juga suspek mendapat keadilan.

Wednesday, May 19, 2010

GPMS Selangor Gesa Kerajaan Tarik Lesen Judi Piala Dunia


Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor kecewa dan menggesa kerajaan untuk menarik semula lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun alasannya adalah untuk membendung aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Alasan seperti ini langsung tidak boleh diterima bagi menjustifikasikan sesuatu yang bukan sahaja haram dari segi agama bahkan membelakangi prinsip nilai dan akhlak.

Ibarat “mencurah minyak ke atas api yang membara” memberi lesen ini seolah-olah menggalakkan lagi gejala maksiat yang secara terang-terangan membawa kepada permasalahan sosial yang melampau.

Judi sama ada ‘dilesenkan’ atau tidak dilesen tetap mendatangkan kesan yang buruk dan tidak sihat kepada masyarakat. Ia tetap haram, tetap menyebabkan pembaziran, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga selain menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Mungkin apa yang dibuat oleh kerajaan ialah untuk menghalalkan judi kepada orang bukan Islam tetapi sejauh mana kesan untuk orang bukan Islam tidak melibatkan diri dalam pertaruhan Piala Dunia tersebut?

Malah, manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Judi bukan untuk dijadikan budaya yang halal dalam masyarakat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor merasakan masih belum terlewat untuk menarik semula lesen yang telah diberikan.

Sesuatu yang haram dari segi agama tidak boleh dihalalkan melalui apa jua tindakan dan justifikasi. Apakah selepas ini kerajaan akan mengeluarkan lesen pelacuran pula kerana mengambil alasan yang sama bagi membendung aktiviti pelancuran haram?

Tuesday, May 11, 2010

SELAMAT HARI GURU: ‘Guru Pembina Negara Bangsa’

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS-Selangor) ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia.

Peranan dan tanggungjawab sebagai seorang guru amatlah mulia dan tidak ternilai harganya. Profession guru sebagai seorang pendidik dan pengajar tidak boleh disamakan dengan profession yang lain. Pengorbanan dan perjuangan guru adalah semata-mata untuk melihat anak bangsa mereka berjaya di masa hadapan. Pendidikan adalah asas yang sangat penting untuk melahirkan modal insan yang diperlukan oleh negara dan untuk menentukan arah tuju negara dalam menghadapi arus pembangunan.

Melihat kembali kepada falsafah pendidikan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Merealisasikan falsafah ini memerlukan satu usaha yang menyeluruh dan kerjaya sebagai seorang pendidik ini memerlukan individu yang ikhlas dalam menyebarkan ilmu.

Maka atas semangat inilah guru-guru perlu mencerna dan menghayati tema hari guru pada tahun ini ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan.

Tema ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana dalam era globalisasi dan K-ekonomi, negara kita terpaksa bersaing dengan negara lain di atas dasar kualiti. Kita tidak mempunyai pilihan, melainkan berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang amat mengutamakan kualiti dalam setiap pekerjaan mereka.

Justeru, tidak hairanlah jika Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberikan penekanan yang begitu tinggi terhadap bidang pendidikan. Reformasi pendidikan yang ingin beliau bawa diharap dapat melahirkan generasi masa hadapan yang betul-betul boleh mengangkat Malaysia ke suatu tahap yang lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Dalam hal ini, kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa guru merupakan golongan yang berada di barisan paling hadapan dan merupakan pemangkin untuk memastikan hasrat ini menjadi kenyataan.

Segala ini bermaksud, jika cabaran globalisasi menuntut agar rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, lebih berkemahiran, lebih berdisiplin dan lebih mengutamakan kualiti, maka tuntutan terhadap golongan guru sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan adalah jauh lebih hebat.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor berharap agar golongan pendidik ini perlu ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru. Guru mesti sedia berkorban untuk meningkatkan darjat pendidikan anak bangsa selain melaksanakan kewajipan terhadap anak muridnya. Semasa pelajar berada di sekolah, menjadi tanggungjawab guru melatih, mengajar dan memupuk nilai-nilai murni termasuk hubungan kekeluargaan, kemesraan dan keikhlasan dalam diri pelajar yang semakin terhakis. Adalah menjadi harapan semua, agar golongan pendidik melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan.

Memang tidak dinafikan kesan yang dibawa oleh guru di Malaysia amatlah besar. Kita berbangga dengan status Malaysia di persada antarabangsa dan kejayaan yang kita kecapai selama ini. Namun kejayaan besar yang kita kecapi ini, ilmu yang kita ada ini, kesedaran yang kita alami ini, semuanya bermula dengan insan yang bernama guru. Mereka adalah insan yang tidak kenal erti penat lelah, sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak bangsa pada masa hadapan.

Selamat Menyambut Hari Guru.

Monday, May 10, 2010

Penerapan Budaya Kerja Islam Tangani Gejala Rasuah

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor menyokong gesaan Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil agar SPRM membuat kajian dan risikan di sektor-sektor tertentu yang berpotensi berlakunya rasuah bagi membolehkan hasil siasatan itu digunakan untuk rujukan.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor juga melihat masalah rasuah ini boleh ditangani dengan mempertingkatkan penerapan budaya hidup kerja Islam agar rasuah dapat ditangani dan dibanteras dalam jangka masa panjang.

Kita faham, tanggungjawab membanteras rasuah ini tidak seharusnya terbeban kepada SPRM sahaja. SPRM tidak mampu bertindak tanpa maklumat yang mencukupi dan kerjasama oleh semua pihak terutamanya saksi-saksi kes rasuah.

Sehubungan dengan itu, janganlah kita hanya mengharapkan usaha-usaha yang dijalankan oleh SPRM semata-mata, sebaliknya usaha-usaha berterusan untuk menangani gejala ini memerlukan komitmen semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) dan orang awam lain.

Thursday, May 6, 2010

Jangan politikkan isu Aminulrasyid (Sinar Harian)


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor semalam, mengingatkan masyarakat terutama parti politik agar tidak :mensensasikan dan mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi masing–masing ke atas kematian Allahyarham Aminulrasyid Amzah, semalam.

Lawatan ke rumah Allahyarham itu diketuai Timbalan Presidennya, Rosdi Amir bersama barisan Ahli jawatankuasa GPMS Negeri Selangor yang lain.

Rosdi turut memaklumkan bahawa mereka bersedia menawarkan khidmat peguam pemerhati kepada keluarga remaja tersebut.

“Tawaran itu dibuat untuk menyalurkan maklumat sebenar sekiranya terdapat prosiding mahkamah bagi memastikan kes berkenaan tidak dimanipulasikan atau disensasikan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya

“Tujuan GPMS Selangor datang ke mari kerana kami ingin tahu sendiri lebih lanjut mengenai kedudukan sebenar kerana semua tahu bahawa pelbagai pihak membuat spekulasi tanpa usul periksa dan ini satu ketidakadilan kepada keluarga mangsa,” katanya pada sidang media selepas melawat ibu mangsa di sini, semalam.

“Hasil pertemuan dengan ibu mangsa kami mendapati ada sesuatu yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya tidak timbul cerita–cerita yang tidak tepat kerana kami beranggapan isu ini membabitkan maruah Allahyarham dan keluarga mangsa sendiri,” katanya.

Rosdi juga meminta masyarakat supaya menghentikan cerita tanpa gambaran sebenar, terutama melalui laman blog supaya kita tidak meletakkan satu tanggapan dan persepsi negatif terhadap keluarga mangsa.