Tuesday, May 11, 2010

SELAMAT HARI GURU: ‘Guru Pembina Negara Bangsa’

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS-Selangor) ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia.

Peranan dan tanggungjawab sebagai seorang guru amatlah mulia dan tidak ternilai harganya. Profession guru sebagai seorang pendidik dan pengajar tidak boleh disamakan dengan profession yang lain. Pengorbanan dan perjuangan guru adalah semata-mata untuk melihat anak bangsa mereka berjaya di masa hadapan. Pendidikan adalah asas yang sangat penting untuk melahirkan modal insan yang diperlukan oleh negara dan untuk menentukan arah tuju negara dalam menghadapi arus pembangunan.

Melihat kembali kepada falsafah pendidikan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Merealisasikan falsafah ini memerlukan satu usaha yang menyeluruh dan kerjaya sebagai seorang pendidik ini memerlukan individu yang ikhlas dalam menyebarkan ilmu.

Maka atas semangat inilah guru-guru perlu mencerna dan menghayati tema hari guru pada tahun ini ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan.

Tema ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana dalam era globalisasi dan K-ekonomi, negara kita terpaksa bersaing dengan negara lain di atas dasar kualiti. Kita tidak mempunyai pilihan, melainkan berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang amat mengutamakan kualiti dalam setiap pekerjaan mereka.

Justeru, tidak hairanlah jika Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberikan penekanan yang begitu tinggi terhadap bidang pendidikan. Reformasi pendidikan yang ingin beliau bawa diharap dapat melahirkan generasi masa hadapan yang betul-betul boleh mengangkat Malaysia ke suatu tahap yang lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Dalam hal ini, kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa guru merupakan golongan yang berada di barisan paling hadapan dan merupakan pemangkin untuk memastikan hasrat ini menjadi kenyataan.

Segala ini bermaksud, jika cabaran globalisasi menuntut agar rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, lebih berkemahiran, lebih berdisiplin dan lebih mengutamakan kualiti, maka tuntutan terhadap golongan guru sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan adalah jauh lebih hebat.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor berharap agar golongan pendidik ini perlu ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru. Guru mesti sedia berkorban untuk meningkatkan darjat pendidikan anak bangsa selain melaksanakan kewajipan terhadap anak muridnya. Semasa pelajar berada di sekolah, menjadi tanggungjawab guru melatih, mengajar dan memupuk nilai-nilai murni termasuk hubungan kekeluargaan, kemesraan dan keikhlasan dalam diri pelajar yang semakin terhakis. Adalah menjadi harapan semua, agar golongan pendidik melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan.

Memang tidak dinafikan kesan yang dibawa oleh guru di Malaysia amatlah besar. Kita berbangga dengan status Malaysia di persada antarabangsa dan kejayaan yang kita kecapai selama ini. Namun kejayaan besar yang kita kecapi ini, ilmu yang kita ada ini, kesedaran yang kita alami ini, semuanya bermula dengan insan yang bernama guru. Mereka adalah insan yang tidak kenal erti penat lelah, sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak bangsa pada masa hadapan.

Selamat Menyambut Hari Guru.

No comments:

Post a Comment