Sunday, May 23, 2010

GPMS Selangor Cadang MB Selangor Bercuti sehingga siasatan kes pasir dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd selesai

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor gembira dengan sikap berani Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid yang menggalakkan sesiapa sahaja membuat laporan polis demi menjaga harta negeri atau membanteras penyalahgunaan kuasa termasuk membuat siasatan terhadap adiknya Hajiman yang didakwa mungkin terlibat dalam kes simbah cat merah di kediaman dan kenderaan Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam di Pekan Meru, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor juga menyambut baik kenyataan Penasihat PKR yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedia anak syarikatnya disiasat berhubung dakwaan salahguna kuasa dan korupsi dalam aktiviti perlombongan pasir itu. Kerajaan Selangor sedia disiasat oleh mana-mana pihak termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia asalkan ia dilakukan secara profesional dan telus.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor ingin mencadangkan kepada YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bercuti bertugas sebagai Menteri Besar Selangor bagi menjamin siasatan yang lebih telus oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) memandangkan isu ini dikatakan melibatkan adik beliau sendiri, Hajiman.

Bagi mengelakkan sebarang kecurigaan dari semua pihak bahawa Tan Sri Khalid akan mempengaruhi siasatan ini, maka Khalid diminta mengambil cuti sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.

Kita tidak mahu siasatan ini terganggu, semua pihak termasuk Tan Sri Khalid sendiri diminta memberi ruang kepada pihak polis, SPRM dan Selcat menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kes dakwaan kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Pada masa sama, GPMS Selangor mengharapkan tiada sebarang andaian dibuat berhubung kes itu sebaliknya menunggu hasil siasatan polis, SPRM dan Selcat terhadap pengadu dan juga suspek yang berkenaan.

Kita yakin dengan kematangan dan kemampuan pihak polis, SPRM dan Selcat tidak memerlukan tekanan mana-mana pihak agar siasatan dijalankan dengan adil dan profesional, kerana sebagai agensi penguat kuasa undang-undang yang profesional, pihak polis dan SPRM serta Selcat akan memastikan kedua-dua pihak iaitu pengadu selaku mangsa dan juga suspek mendapat keadilan.

No comments:

Post a Comment