Wednesday, May 19, 2010

GPMS Selangor Gesa Kerajaan Tarik Lesen Judi Piala Dunia


Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor kecewa dan menggesa kerajaan untuk menarik semula lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun alasannya adalah untuk membendung aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Alasan seperti ini langsung tidak boleh diterima bagi menjustifikasikan sesuatu yang bukan sahaja haram dari segi agama bahkan membelakangi prinsip nilai dan akhlak.

Ibarat “mencurah minyak ke atas api yang membara” memberi lesen ini seolah-olah menggalakkan lagi gejala maksiat yang secara terang-terangan membawa kepada permasalahan sosial yang melampau.

Judi sama ada ‘dilesenkan’ atau tidak dilesen tetap mendatangkan kesan yang buruk dan tidak sihat kepada masyarakat. Ia tetap haram, tetap menyebabkan pembaziran, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga selain menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Mungkin apa yang dibuat oleh kerajaan ialah untuk menghalalkan judi kepada orang bukan Islam tetapi sejauh mana kesan untuk orang bukan Islam tidak melibatkan diri dalam pertaruhan Piala Dunia tersebut?

Malah, manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Judi bukan untuk dijadikan budaya yang halal dalam masyarakat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor merasakan masih belum terlewat untuk menarik semula lesen yang telah diberikan.

Sesuatu yang haram dari segi agama tidak boleh dihalalkan melalui apa jua tindakan dan justifikasi. Apakah selepas ini kerajaan akan mengeluarkan lesen pelacuran pula kerana mengambil alasan yang sama bagi membendung aktiviti pelancuran haram?

No comments:

Post a Comment