Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh
GPMS Selangor kecewa dengan laporan laman portal Malaysiakini yang tidak cekap dan berat sebelah terhadap isu aduan dan penghantaran memorandum para pelajar Fakulti Bioteknologi dan Sains Hayat (FBSH), Sesi Julai 2010 Unisel Shah Alam mengenai pemindahan FBSH ke kampus Induk di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Laporan Malaysiakini seolah-olah menyalahkan pelajar kononnya tidak mahu berpindah ke Bestari Jaya kerana kampus induknya berkenaan terletak agak jauh daripada bandar.
GPMS Selangor sendiri sudah beberapa kali berbincang dengan kumpulan pelajar ini, mereka bukannya tidak mahu berpindah malah sudah bersedia untuk berpindah mengikut pelan asal perpindahan.
Menurut makluman awal pihak fakulti dan pengurusan tertinggi UNISEL, mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk memindah FBSH secara berperingkat dan bersistematik. Proses pemindahan dijangka selesai pada akhir semester sesi Julai 2010 (mahasiswa/i FBSH tahun akhir akan dipindahkan pada semester Januari 2011).
Perkara yang dibangkitkan oleh para pelajar bidang bioteknologi merupakan satu bidang yang penting dan mempunyai daya saing yang tinggi di dalam industri. Kemudahan prasarana yang selesa dan lengkap dengan peralatan yang canggih dan mencukupi adalah amat diperlukan oleh semua warga FBSH dalam memacu kemajuan intelektual dan penyelidikan yang berimpak tinggi. Tetapi malangnya, FBSH akan hanya menumpang di Fakulti Sains Dan Teknologi Alam (FSTA) dan bukannya di bangunan fakulti sendiri.
Hasil dari pemantauan pihak Student of Biotechnology and Life Sciences (SOBALS), hanya terdapat lapan 8 buah makmal sahaja yang telah dikhususkan untuk FBSH dan ianya kosong tanpa satu pun peralatan yang diperlukan. Malah, jumlah tersebut adalah tidak mencukupi bagi menampung jumlah penuntut semasa sesi amali berlangsung. Di samping itu, kerja-kerja penyelidikan juga akan mengalami kesukaran kerana lokasi FBSH yang jauh. (Kesukaran membawa sampel-sampel organ dan sel yang sensitif ).
Persoalan yang timbul adalah:
1. Apakah dalam jangka masa yang singkat ini, kemudahan pembelajaran (makmal dan peralatan-peralatannya) dapat disediakan (sama ada lebih baik atau lebih teruk dari kampus Shah Alam) agar perjalanan proses pembelajaran dapat berlangsung tanpa wujudnya sebarang permasalahan akibat dari pemindahan yang tergesa-gesa.
2. Adakah proses pembelajaran dan perjalanan pengurusan FBSH akan menjadi lebih efektif dan berdaya saing walaupun hanya sekadar menumpang di bangunan FSTA, walaupun tanpa adanya bilik untuk pensyarah-pensyarah FBSH di kampus Bestari Jaya (sehingga kini)?
3. Apakah motif sebenar pemindahan FBSH yang ingin dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi setelah sekian lama isu ini tidak dibangkitkan? Sejak pengurusan Pakatan Rakyat mengambil alih UNISEL, tiada juga penambahbaikan peralatan-peralatan makmal yang berlaku.
Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor mohon pihak Malaysiakini dan pihak media yang lain dapat membuat laporan yang sebenar tentang isu yang dibawa oleh para pelajar ini.
GPMS Selangor juga memohon kefahaman dan kerjasama yang sebaiknya kepada pihak Unisel dan Kerajaan Negeri khusunya Menteri Besar Selangor sendiri berhubung bantahan para pelajar ini demi kebaikan bersama.
No comments:
Post a Comment