Wednesday, November 25, 2009

HARAM SERTAI PROGRAM BTN: Kerajaan Selangor Takut Bayang-Bayang Sendiri

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Pengerusi GPMS Selangor


Saya juga pernah menjadi pelajar dan pernah mengikuti kursus BTN. Sehingga hari ini saya masih berterima kasih kepada BTN kerana membantu membangunkan diri saya untuk menjadi warganegara yang baik. Bagi saya, mereka yang tidak berterima kasih bukanlah warganegara yang baik, sama tarafnya dengan Namawee yang sehingga kini masih mencemuh negara kelahirannya sendiri.

Saya tidak nampak di mana salahnya BTN dalam menjalankan fungsinya sebagai satu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Mereka ini hanya nampak satu titik hitam di atas sehelai kertas putih. Modus operandi mereka sama sepertimana yang mereka lakukan untuk menghapuskan ISA.

Bagi mereka, apabila ISA sudah terhapus, bebaslah mereka untuk melakukan kejahatan terhadap negara. Begitu jugalah, apabila pelajar mula dihalang untuk mengikuti aktiviti BTN, maka mudahlah untuk mereka menyesatkan lagi pemikiran pelajar-pelajar pewaris negara ini dengan sejarah-sejarah negara yang diselewengkan.

Salah satu fungsi BTN juga adalah untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan. Adakah pelajar-pelajar di bawah kerajaan negeri seperti Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Antarabangsa INPENS tidak berhak tahu mengenai dasar-dasar kerajaan ini sedangkan kebanyakan dari mereka juga merupakan peminjam PTPTN yang juga merupakan sebuah agensi di bawah kerajaan Pusat.

Seharusnya mereka sebagai orang yang menyokong demokrasi membenarkan para pelajar untuk duduk mendengar pula dari pihak yang lain. Berikan kebebasan kepada pelajar. Jangan heret mereka ke kancah politik kotor yang hanya berlandaskan nafsu tanpa pemikiran yang waras.

Pelajar adalah pewaris kepimpinan negara. Kerana kita sayangkan merekalah, maka mereka ini didedahkan dengan fakta. Bukan seperti mereka itu yang hanya mendedahkan perkara-perkara yang auta dan bersandiwara semata-mata.

Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebenarnya cuba memesongkan pemikiran rakyat disebalik isu dan keretakan kerajaan PR ini dengan menjadikan BTN sebagai `kambing hitam’ dalam menutup kelamahan-kelemahan mereka ini.

Hakikatnya, kursus dan program-program BTN bukanlah menyuruh atau mengarahkan peserta dan orang untuk menyokong mana-mana parti politik tertentu, tetapi program-program yang dianjurkan adalah untuk menyintai dan menghargai kemerdekaan tanah air (Negara).

Kalau kita sayangkan tanah air maka keamanan dan kemakmuranlah yang paling penting. Untuk mencapai keamanan perpaduan perlu diberikan keutamaan. Sekarang apa yang dapat dilihat, Pakatan Rakyat yang berusaha untuk memecah belahkan kaum dan rakyat, khususnya di Selangor.

Pakatan Rakyat sengaja menimbulkan isu perkauman untuk menagih simpati dan menutup pepecahan yang sedang berlaku pada mereka. PR takut pada BTN kerana takut rakyat akan sedar akan penipuan mereka selama ini.

No comments:

Post a Comment