Tuesday, March 8, 2011

Hormati Titah Yang Di Pertuan Agong- GPMS Selangor

Kita harus menghormati dan menilai titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah, negara jika mahukan Malaysia terus aman dan makmur.

Baginda bertitah tunggak utama negara seperti Perlembagaan negara, badan perundangan, badan eksekutif, badan kehakiman serta institusi raja berperlembagaan serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawakm, harus terus dipelihara.

Pada hari ini, kita melihat ada usaha berterusan untuk mewujudkan keraguan terhadap tunggak-tunggak utama ini, yang jika tidak diurus dengan baik, maka akan berlaku perpecahan rakyat yang lebih parah.

Walaupun setiap orang berhak mempunyai tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara, kebebasan mutlak hanya akan mewujudkan keadaan huru-hara dan akhirnya memusnahkan perpaduan rakyat “Jika setiap rakyat memilih selera pandangan yang sangat bebas terhadap tunggak-tunggak utama negara itu maka penyatuan pemikiran dan perpaduan rakyat berada pada tahap sangat rapuh,”.

“GPMS Selangor tidak mahu mencampuri urusan politik kepartian tetapi setiap orang Melayu beragama Islam, khususnya di negeri Selangor ini, kita tidak seharusnya meletakkan parti politik sebagai faktor pemisah antara rakyat di negeri ini”.

Perlembagaan negara telah menyatukan rakyat negara ini, dari dahulu, sekarang dan akan datang selaras dengan konsep 1Malaysia. Perlembagaan negara mahukan setiap rakyat hidup dalam harmoni, tidak ada rakyat tercicir daripada menikmati pembangunan dan kehidupan.

Pemimpin parti politik di negara ini seharusnya memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan daripada kontrak sosial.

Semangat yang diterapkan kepada ahli parti perlu mengikut permuafakatan dan persefahaman antara kaum bagi memastikan perkara yang tidak diingini membabitkan isu perkauman berlaku.

Mereka tidak boleh menggunakan isu-isu perkauman untuk menarik rakyat menyokong mereka. Rakyat juga perlu bijak menilai dan menentukan pilihan mereka, sikap bertolak ansur antara kaum juga akan menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk mengelak tercetusnya kembali peristiwa berdarah 13 Mei

Kebimbangan tersebut seharusnya menjadi ingatan kepada pemimpin parti politik untuk tidak mengamalkan perjuangan sempit. Setiap kaum hendaklah saling bantu membantu dan berkasih sayang untuk membentuk satu keluarga besar Malaysia.


MOHD FAIZAL MOHD SALLEH

Pengerusi GPMS Selangor

Wednesday, February 16, 2011

Mas, AirAsia Diminta Bantu Kerajaan (SH, N8, 16 Feb 2011)

GPMS Selangor meminta kerajaan menaja separuh kos tiket untuk pelajar Malaysia yang dibawa balik berikutan krisis politik di Mesir, pulang melanjutkan pelajaran di negara itu.

Pengerusinya, MFMS berkata, langkah itu dapat mengurangkan beban ibubapa pelajar kurang kemampuan.

Bagaimanapun, menurutnya penajaan pulang pelajar ke Mesir harus dibantu syarikat Penerbangan Mas dan AirAsia sebagai khidmat sosial kepada masyarakat.

"Kos bawa pulang pelajar dari Mesir ke Jeddah seterusnya ke Malaysia sudah memakan belanja tinggi. Jika kerajaan perlu menanggung kos menghantar pulang pelajar ke Mesir, ini akan melibatkan kos lebih tinggi.

....... Baca seterusnya di akhbar Sinar Harian, 16 Februari 2011...

Thursday, February 10, 2011

GPMS Selangor Cabar Kerajaan Selangor .....

....... Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd Faizal Mohd Salleh mencabar kerajaan Selangor membiayai kos perundangan setiap rakyat Selangor sekiranya beliau dihadapkan ke mahkamah.

Beliau berkata, berikutan langkah rakyat negeri berkenaan berhak mendapat kemudahan itu dan bukan hanya setakat mereka yang berkedudukan ADUN atau bertaraf pemimpin negeri sahaja.

"Dalam perkara itu, kerajaan Selangor tidak boleh pilih kasih. Semua orang Selangor berhak mendapat pembiayaan kos perundangan jika mereka berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Jika tidak, mereka bukanlah sebuah kerajaan yang telus sebaliknya boleh dianggap sebagai kerajaan yang menyeleweng," ujarnya ....

+++artikel dari Utusan Malaysia, ms 5, 10 Februari 2011. (Kerajaan Selangor didakwa menyeleweng, tidak amanah dan tidak adil)

Thursday, December 2, 2010

Pentadbiran Khalid Ibrahim Tidak Cekap – GPMS Selangor

Gambar Hiasan: Isu pasir di Selangor adalah salah satu lambang penyelewengan dan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah PKR.


Shah Alam, 2 Dis 2010- Isu yang dibangkitkan mengenai 30 isu penyelewengan kerajaan negeri Selangor adalah berkaitan tentang ketidakcekapan Kerajaan Negeri menguruskan pentadbiran seperti apa yang mereka canangkan sebelum ini, ujar Ketua Penerangan GPMS Negeri Selangor, Dato’ Irmohizam Ibrahim.

”Segala apa yang berlaku melambangkan pentadbiran yang diterajui oleh Menteri Besar cacar merba dan perlu diaudit serta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus masuk dan menyiasat segala tuduhan kerana ianya melibatkan wang rakyat.

Rakyat perlu tahu apa yang berlaku sebenarnya. Sekarang Rakyat Selangor harus membuka mata dan menilai tahap kepimpinan negeri sekarang selepas pilihan raya lepas kerana terlalu banyak isu dan masalah yang timbul mengenai pentadbiran Menteri Besar ketika ini,” ujarnya mengulas isu 30 perkasa dan isu penyelewengan kerajaan Negeri Selangor.

Tambahnya, GPMS Selangor melihat perlu ada perubahan bukan sahaja kepimpinan Menteri Besar malah kepimpinan negeri sekaligus kepada mereka yang benar-benar layak mentadbir negeri Selangor ini. Teguran Sultan Selangor juga perlu diambil berat dan iktibar kepada semua.

”Teguran ini dibuat kerana kerap sangat teguran dibuat akan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri serta isu-isu yang berkaitan dengan rakyat Selangor,” tambahnya lagi.

Friday, August 6, 2010

Selepas Pulun Korek Pasir, Roboh Gerai Rakyat, Kini Kutip Derma TIRAM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Belum pun memerintah negara, pakatan pembangkang sudah ‘pulun’ sebanyak mungkin hasil projek kuari pasir, cukai rumah urut dan menindas rakyat dengan meroboh gerai rakyat serta mula merancang memansuh pelbagai hak Bumiputera dan Melayu.

Terbaru penyokong pakatan pembangkang dan rakyat yang dikelirukan mahu pula dibebankan oleh pemimpin-pemimpin mereka untuk mengumpul derma melancarkan Tabung Impian Rakyat (TIRAM) bernilai RM20 juta sebagai usaha mencapai cita-cita memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kelak.

Mohamad Rashidi Mohamad Ismail, Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS Selangor) berkata, dengan cara ‘kononnya memohon’ ihsan rakyat biasa yang tidak berduit ini, sama-sama mengeluarkan ‘duit poket’ mereka, untuk menanggung dan menampung kewangan parti Pas, PKR dan Dap dalam PRU-13 kelak.

“Mengapa perlu menubuhkan TIRAM semata-mata untuk mendapatkan kuasa sebaliknya mereka (pekatan pembangkang) khususnya Husam Musa untuk menubuhkan tabung bagi membantu masalah rakyat, khususnya membantu pelajar-pelajar yang bermasalah dari segi kewangan dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Dengan slogan ‘kuasa rakyat’ – rupa-rupanya rakyat juga yang akhirnya terpaksa menanggung segala perbelanjaan pilihan raya untuk Pas, PKR dan Dap dan tanpa kita sedar, duit rakyat pula ingin digunakan oleh Husam dan kawan-kawannya untuk menggulingkan kerajaan,” ujarnya ketika dihubungi UMNO-online bagi mengulas cadangan pelancaran tabung Tiram bagi persediaan pembangkang dalam menghadapi PRU-13 nanti.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor berharap agar mana-mana pihak yang ingin bertanding dalam PRU13 nanti agar tidak mempergunakan kewangan rakyat demi memenuhi impian mereka untuk bertanding nanti.

Dalam masa yang sama, jangan pergunakan rakyat untuk menampung kewangan parti Pas, Dap dan PKR yang semakin meruncing – dengan jalan paling mudah, wujudkan “Tabung Impian Rakyat” kononnya untuk membela nasib rakyat bawahan

Monday, July 19, 2010

Tutup IKYS: GPMS Kecam Kerajaan Selangor Lebih Pentingkan Ladang Babi, Rumah Urut

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor mengecam keputusan kerajaan negeri menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) yang disifatkan sebagai mengkhianati hak rakyat kurang kemampuan untuk mendapat pendidikan.

Tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab, keputusan tersebut merupakan satu lagi tragedi malang buat rakyat di negeri ini selepas pembatalan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah baru-baru ini.

Nampaknya Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui pakatan pembangkang lebih utamakan ladang babi, projek pasir, premis hiburan, rumat urut dari memikirkan soal pendidikan rakyat Selangor.

Apa yang lebih menyedihkan IKYS ini ditubuhkan untuk membantu anak golongan kurang berkemampuan yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke peringkat tinggi bagi mendapatkan latihan kemahiran. Apakah dosa mereka hingga hak mereka diketepikan.

Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim kata beliau lagi seharusnya sedar dan faham objektif sebenar institut tersebut yang lebih menjuruskan kepada kebajikan kepada rakyat.

Ini bukan soal untung rugi tapi kebajikan pendidikan kepada rakyat negeri ini yang kurang kemampuan. Lagi pun rakyat masih lagi ingat janji utama pakatan pembangkang semasa pilihanraya umum lalu untuk menjadikan Selangor sebagai negeri kebajikan. Apa sudah jadi dengan janji tersebut.

Beliau seterusnya mempersoalkan rasional untuk memindahkan pelajar IKYS yang berorientasikan kemahiran ke Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens) yang hanya menawarkan kursus pengurusan.

Kita juga nak tahu apa perancangan kerajaan negeri ke atas bangunan IKYS yang yang sudah lengkap dengan prasarana bernilai lebih RM20 juta itu. Apakah ia akan jadi satu lagi monumen kenangan kegagalan kerajaan negeri untuk tatapan rakyat.

Mengenai langkah GPMS seterusnya bagi membela nasib pelajar IKYS, GPMS Selangor akan mengadakan perbincangan dengan kolej-kolej kemahiran bawah pengendalian MARA bagi menempatkan pelajar terbabit sekiranya mereka berminat untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran.

KYS dibina dengan kos RM25 juta di kampus tetapnya di Bagan Terap, Sabak Bernam selepas berpindah dari kampus sementaranya di Kuala Selangor. Dulu namanya adalah Institut Kemahiran Selangor sebelum ditukar kepada IKYS pada 2005.

Ketika ini, IKYS menawarkan pelbagai kursus kemahiran antaranya pendawaian satu fasa secara sepenuh masa, teknologi penyejukan dan penyaman udara domestik secara sepenuh masa.

Turut ditawarkan adalah kursus pendawaian tiga fasa secara separuh masa, program kawalan motor secara separuh masa dan program intensif peperiksaan yang mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (STM).

Thursday, June 24, 2010

TERIMA KASIH KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS Selangor) ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi khususnya Menterinya, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang buat pengumuman bahawa pelajar yang bakal mengikuti pengajian di universiti boleh memohon menangguhkan pembayaran yuran kemasukan mereka jika tidak berkemampuan. Perkara itu boleh dilakukan menerusi perbincangan dengan pihak universiti.

Ini merupakan langkah terbaik untuk memastikan tidak ada halangan kepada mana-aman pelajar untuk terus melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi kerana masalah-masalah tidak berkemampuan untuk membayar yuran pendaftaran kemasukan ke universiti seperti yuran sekali seperti wang hemat diri, yuran minggu haluan siswa dan kad matrik.

Kami di pihak GPMS Selangor juga menerima beberapa rintihan pelajar dan keluarga yang tidak berkemampuan dalam meneruskan atau menghantar anak-anak mereka ke IPT, namun langkah terkini Kementerian ini membuktikan bahawa kerajaan benar-benar prihatin dan memahami masalah rakyat.

Sehubungan dengan itu, tidak ada lagi halangan kepada mereka ini dan semoga dengan langkah ini akan membuka jalan kejayaan kepada anak bangsa.

BELIA KREATIF PEMACU PEMBANGUNAN NEGARA

Oleh: Mohamad Rashidi Mohammad Ismail

Kekesalan dan kecewa dengan tindakan segelintir ketua jabatan di jabatan-jabatan kerajaan yang menghalang kakitangannya dari mengikuti kursus atau program yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan kerajaan di kementerian yg lain. Sepatutnya kakitangan kerajaan perlu sedar bahawa program-program yang dijalankan oleh jabatan-jabatan lain adalah misi nasional dan sebagai penjawat awam sepatutnya memberi sokongan dalam menjayakanya.

Dalam usaha menarik belia-belia berpersatuan sepatutnya perkara ini tidak berlaku melainkan ketua jabatan itu sendiri tidak minat berpersatuan atau tidak faham akan peranan-peranan berpersatuan ataupun mempunyai agenda peribadi tertentu.

Jika tidak, mengapa ini perlu berlaku. Sepatutnya ketua jabatan perlu sedar bahawa kebanyakan persatuan sudah berada dibawah akta bela dan berumur 15 hingga 40 tahun serta kebanyakan pemimpin-pemimpin belia berumur 25 tahun ke atas yg telah berkerja di agensi swasta dan kerajaan.

Jabatan-jabatan dibawah kementerian- kementerian tertentu menjalankan program adalah dengan tujuan melahirkan modal insan yang berkualiti.

Sehubungan dengan itu, saya memohon perhatian semua pihak untuk memikirkan tindakan terhadap ketua-ketua jabatan yang ternyata biadab dan tidak menghormati misi negara.

Orang seperti itu, orang yang biadap yang tidak tahu dan tidak mahu menghormati misi negara dengan tidak memikirkan berjaya ataupun tidak misi negara, tidak sepatutnya menerajui mana-mana jabatan kerajaan.

Dalam masa yang sama, saya turut berharap agar semua pihak bersama-sama memberi fokus kepada kepimpinan belia dan memberi perluang serta ruang kepada belia dengan tujuan melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.

Wednesday, June 23, 2010

Wee Ka Siang Biadap Tak Hormati Perlembagaan Negara

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS Selangor) kesal dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong yang mempertikai dan menyentuh soal pemberian biasiswa MARA kepada pelajar Bumiputera dalam ulasannya mengenai langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menghentikan secara berperingkat-peringkat pemberian biasiswa kepada pelajar yang mengikuti kursus ijazah sarjana muda di luar negara mulai tahun depan.

Biasiswa MARA melibatkan soal hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor memohon perhatian YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak untuk memecat Datuk Dr Wee Ka Siong yang ternyata biadab dan tidak menghormati Perlembagaan Negara.

Orang seperti Dr. Wee Ka Siong, orang yang biadap yang tidak tahu dan tidak mahu menghormati Perlembagaan Negara dengan menafikan hak dan maruah Bumiputera, tidak sepatutnya berada dalam kabinet.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor turut mendesak agar pihak MARA menyediakan dan menambahkan biasiswa kepada pelajar Bumiputera, bertujuan melahirkan modal insan yang berkualiti bagi menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.

GPMS Selangor mencadangkan agar fokus penajaan biasiswa ini adalah kepada bidang-bidang kritikal dan keutamaan yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan, seperti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan.

GPMS Selangor berpendapat, tindakan JPA akan menghentikan secara berperingkat-peringkat pemberian biasiswa kepada pelajar yang mengikuti kursus ijazah sarjana muda di luar negara mulai tahun depan, akan memberi kesan kepada usaha menambah peratusan bilangan profesional bumiputera pada masa akan datang.

Mengikut pecahan kaum, bumiputera didapati mempunyai bilangan profesional paling rendah peratusnya dan menerusi penajaan MARA nanti, ia mampu menambah jumlah profesional Bumiputera memandangkan kursus yang dicadangkan ialah dalam bidang profesional.

Thursday, June 17, 2010

GPMS DESAK KERAJAAN TERUSKAN PEMBERIAN BIASISWA JPA

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) telah menuntut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan Malaysia untuk meneruskan pemberian biasiswa JPA bagi memastikan pelajar-pelajar mendapat manfaat dari segi kualiti pendidikan di universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim berkata, cadangan untuk menghentikan pemberian biasiswa ini tidak relevan dan tidak bersesuaian dengan polisi, dasar dan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Sehubungan dengan itu, GPMS menuntut peruntukan biasiswa JPA mestilah diberikan mengikut konsep kouta kaum iaitu sekurang-kurangnya 66% kepada pelajar Melayu atau Bumiputera.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan jaminan pelajar-pelajar Melayu mendapat biasiswa berdasarkan kedudukan ekonomi orang Melayu pada hari ini amat menuntut kerajaan meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar Melayu.

“Kita sedia maklum jumlah golongan profesional Melayu dan Bumiputra adalah masih jauh lebih kecil kalau di bandingkan dengan jumlah bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang sudah lama mendapat “head start” sejak dari zaman penjajahan lagi.

Untuk merapatkan jurang “human capital” atau modal insan yang terlatih lagi canggih ini aspek pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting sekali bagi meramaikan bijak pandai Melayu,” ujarnya ketika menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan tetap dengan keputusannya untuk mengurangkan penghantaran pelajar tempatan ke luar negara melalui biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula tahun depan. Kerajaan telah mengambil kira semua faktor melibatkan perkara itu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan, kerajaan tetap dengan keputusan untuk mengurangkan penghantaran dan beri biasiswa Mungkin apabila keadaan ekonomi berubah dan kerajaan ada dana yang cukup, beliau percaya sudah tentu kerajaan akan belanja lebih untuk membiayai pelajar ke luar negara.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian dan mengambil kira setiap tuntutan dan kehendak rakyat termasuk untuk sektor pendidikan. Kita sudah pertimbangkan sehabis baik keputusan ini. Tidak mudah untuk melakukannya, tetapi apa yang diputuskan itu juga adalah demi kepentingan tahap pendidikan tinggi di negara ini,” ujar selepas menerima memorandum daripada GPMS.

Bumiputera dapat 56% agihan biasiswa JPA

Dalam pada itu, Mohamed Nazri menjelaskan, pemberian biasiswa JPA yang melibatkan 1,500 pelajar di seluruh negara pada tahun ini adalah sangat adil dengan mengikut fakta-fakta yang relevan. Berdasarkan merit pelajar, seramai 300 pelajar bumiputra dan 241 bukan bumiputra telah diberikan biasiswa JPA. JPA telah mengagihkan 2,850 biasiswa untuk pelajar ke luar negara tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 56 peratus daripada jumlah itu adalah untuk bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, manakala selebihnya adalah untuk bukan bumiputera.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Mohamed Nazri berkata, pengagihan biasiswa itu berdasarkan empat kategori iaitu merit, kaum, bumiputera Sabah dan Sarawak serta latar belakang sosial.

Bagi kategori merit, katanya, sebanyak 59 biasiswa (20 peratus) diagihkan kepada bumiputera, manakala 241 biasiswa (80 peratus) untuk bukan bumiputera. Bagi kuota kaum, bumiputera menerima 557 biasiswa berbanding 343 biasiswa kepada bukan bumiputera.

Sebanyak 150 biasiswa lagi diagihkan kepada bumiputera Sabah dan Sarawak, manakala 1,500 biasiswa lagi mengikut latar belakang sosial penerima iaitu 843 untuk bumiputera dan 657 untuk bukan bumiputera.

Thursday, June 10, 2010

GPMS Selangor menyokong saranan Pemuda PAS agar lesen perjudian di negeri PR tidak perbaharui lesen premis perjudian.

GPMS Selangor menyokong penuh saranan, gesaan dan cadangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hasan Tantawi agar Kerajaan Pakatan Rakyat supaya tidak memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi di negeri-negeri yang dikuasai mereka memandangkan aktiviti perjudian secara tidak langsung meningkatkan indeks jenayah dalam negara.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat ke-51 di Pusat Dagangan Kelantan, beliau merasakan gesaan tersebut sebagai satu pengajaran dan didikan berkesan, maka Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat dalam menyuburkan amalan mungkar dan keji ini.

Beliau berkata, tidak ada mana-mana agama yang menerima amalan perjudian yang dianggap tidak bermoral. Beliau juga sudah periksa dengan wakil-wakil daripada agama lain dan mereka juga bersetuju bahawa agama mereka turut menolok amalan berjudi.

GPMS Selangor yakin dan percaya, pengundi PRU12 telah pun memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanah air dari terjebak dalam kemungkaran yang boleh membinasakan tamadun.

Ketika ini, Kelantan, Pahang, Kedah dan Selangor merupakan negeri dibawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. Sehubungan dengan itu, aku nak tengok cadangan dan gesaan ini menjadi realisasi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Selangor.

Kita harap nawaitu Pemuda PAS benar-benar jujur, ikhlas untuk membanteras judi. Sepatutnya bukan baru sekarang mereka perlu bertindak demikian, sepatutnya mereka sudah lama mendesak negeri-negeri yang dipimpin Pakatan supaya hapuskan judi. Semenjak berjaya memerintah beberapa buah negeri sejak 8 Mac 2008, negeri-negeri yang dikuasai kerajaan Pakatan Rakyat tidak pula ditentang seperti Selangor khususnya, sebaliknya kian bertambah bukan sahaja premis judi, malah rumah-rumah hiburan serta rumah-rumah urut.

Thursday, May 27, 2010

BERGANDING BAHU KAJI MASALAH DISIPLIN DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS-Selangor) memandang serius isu disiplin dikalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan.

GPMS melahirkan kebimbangan dalam isu disiplin kerana ia menyebabkan fokus para pelajar kepada pelajaran mereka akan terganggu, khususnya apa yang berlaku di SMK Garing, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji.

Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. GPMS Selangor berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh yang demikian GPMS mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membendung masalah disiplin para pelajar dari terus berleluasa.

1. Perjumpaan berkala diantara ibu bapa para pelajar dengan pihak bagi memastikan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa terjalin bagi membincangkan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah.

2. Pertemuan para pelajar dengan pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan perlu diadakan dengan lebih kerap bagi mendapat penjelasan tentang masalah jenayah setempat yang sedang dihadapi dan kesannya kepada diri pelajar.

3. Mewujudkan kumpulan pemantau di antara guru, ibu bapa, pihak polis dan pelajar bagi memastikan para pelajar sentiasa dikawal.

4. Menjalankan kursus-kursus yang boleh memberi pendedahan kepada para pelajar tentang potensi yang ada pada diri masing-masing supaya mereka menumpukan sepenuh perhatian untuk berjaya dalam pelajaran.

Dengan cadangan langkah-langkah tersebut diharapkan masalah disiplin dikalangan para pelajar di sekolah-sekolah akan dapat di atasi.

Dalam masa yang sama, GPMS-Selangor menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini untuk memperkenalkan program Rakan Muda pada peringkat sekolah sebagai satu cabang baru dalam kokurikulum untuk membolehkan program itu lebih dekat dengan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, GPMS-Selangor berharap agar tindakan dan langkah segera diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pelajaran supaya pelaksanaannya lebih tersusun.

Kita melihat langkah tersebut ibarat melentur buluh bermula dari rebungnya, di mana segala usaha untuk melahirkan generasi muda yang gemilang, generasi muda yang bebas dari gejala sosial bermula dari peringkat sekolah lagi, kerana di peringkat inilah golongan muda mudah terdedah dengan gejala tidak sihat, umpamanya rokok, dadah dan gejala sosial yang lain.

Jika golongan ini tidak mula didekati bermula di peringkat sekolah, kita yakin pelajar-pelajar yang mempunyai pendidikan sempurna akan berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka, namun mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan mereka, akan mudah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya.

Oleh itu, pendekatan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperluaskan program Rakan Muda ke sekolah merupakan satu langkah terbaik untuk pelajar mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. GPMS menyarankan akar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran memperbanyakkan aktiviti yang boleh menarik minat golongan belia menceburinya.

Golongan belia khususnya pelajar sekolah perlu diberi suntikan baru dengan ‘disogok’kan program-program baru dan segar. Dalam masa yang sama, kementerian juga harus mencari alternatif yang boleh meransang minat belia menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari mereka. Penerapan semangat "Yakin Boleh" dikalangan anak muda adalah amat penting bagi membentuk generasi pelapis yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan daya juang yang kental.

Suntikan semangat kembara dan meneroka sesuatu yang baru amat penting bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment pada masa hadapan. Semangat untuk menjadi perintis dalam sesuatu penerokaan baik di laut, gunung-ganang, hutan rimba, gua atau udara amat penting bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang-orang Melayu khususnya generasi muda juga mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kita harus sedar, generasi muda merupakan golongan majoriti penduduk negara. Dijangkakan pada tahun 2020, penduduk yang berumur 15-39 tahun akan meningkat kepada 9.2 juta orang. Golongan ini mempunyai keupayaaan yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal. Oleh itu, satu pembangunan yang sihat perlu diberikan supaya mereka menjadi manusia yang berilmu, beragama, bermoral tinggi, produktif, cergas, sihat dan bertanggungjawab.

Dalam konteks menuju perubahan inilah maruah dan martabat bangsa hendaklah dibangunkan secara gigih dan diperjuangkan secara global kerana kekuatan maruah dan martabat bangsa secara menyeluruh akan membawa impak kearah pembentukan bangsa dan tamadun yang lebih gemilang. Seluruh persiapan zahir dan batin perlu disediakan untuk generasi muda bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment masa depan.

Oleh itu, anak muda hari ini perlu dibekalkan dengan ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai-nilai mumi. Dengan memiliki ciri-ciri tersebut akan dapat melahirkan satu tenaga kepimpinan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mantap bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara.

Sunday, May 23, 2010

GPMS Selangor Cadang MB Selangor Bercuti sehingga siasatan kes pasir dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd selesai

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor gembira dengan sikap berani Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid yang menggalakkan sesiapa sahaja membuat laporan polis demi menjaga harta negeri atau membanteras penyalahgunaan kuasa termasuk membuat siasatan terhadap adiknya Hajiman yang didakwa mungkin terlibat dalam kes simbah cat merah di kediaman dan kenderaan Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam di Pekan Meru, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor juga menyambut baik kenyataan Penasihat PKR yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedia anak syarikatnya disiasat berhubung dakwaan salahguna kuasa dan korupsi dalam aktiviti perlombongan pasir itu. Kerajaan Selangor sedia disiasat oleh mana-mana pihak termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia asalkan ia dilakukan secara profesional dan telus.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor ingin mencadangkan kepada YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk bercuti bertugas sebagai Menteri Besar Selangor bagi menjamin siasatan yang lebih telus oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) memandangkan isu ini dikatakan melibatkan adik beliau sendiri, Hajiman.

Bagi mengelakkan sebarang kecurigaan dari semua pihak bahawa Tan Sri Khalid akan mempengaruhi siasatan ini, maka Khalid diminta mengambil cuti sehingga siasatan terhadap kes ini selesai.

Kita tidak mahu siasatan ini terganggu, semua pihak termasuk Tan Sri Khalid sendiri diminta memberi ruang kepada pihak polis, SPRM dan Selcat menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kes dakwaan kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Pada masa sama, GPMS Selangor mengharapkan tiada sebarang andaian dibuat berhubung kes itu sebaliknya menunggu hasil siasatan polis, SPRM dan Selcat terhadap pengadu dan juga suspek yang berkenaan.

Kita yakin dengan kematangan dan kemampuan pihak polis, SPRM dan Selcat tidak memerlukan tekanan mana-mana pihak agar siasatan dijalankan dengan adil dan profesional, kerana sebagai agensi penguat kuasa undang-undang yang profesional, pihak polis dan SPRM serta Selcat akan memastikan kedua-dua pihak iaitu pengadu selaku mangsa dan juga suspek mendapat keadilan.

Wednesday, May 19, 2010

GPMS Selangor Gesa Kerajaan Tarik Lesen Judi Piala Dunia


Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

GPMS Selangor kecewa dan menggesa kerajaan untuk menarik semula lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun alasannya adalah untuk membendung aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Alasan seperti ini langsung tidak boleh diterima bagi menjustifikasikan sesuatu yang bukan sahaja haram dari segi agama bahkan membelakangi prinsip nilai dan akhlak.

Ibarat “mencurah minyak ke atas api yang membara” memberi lesen ini seolah-olah menggalakkan lagi gejala maksiat yang secara terang-terangan membawa kepada permasalahan sosial yang melampau.

Judi sama ada ‘dilesenkan’ atau tidak dilesen tetap mendatangkan kesan yang buruk dan tidak sihat kepada masyarakat. Ia tetap haram, tetap menyebabkan pembaziran, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga selain menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Mungkin apa yang dibuat oleh kerajaan ialah untuk menghalalkan judi kepada orang bukan Islam tetapi sejauh mana kesan untuk orang bukan Islam tidak melibatkan diri dalam pertaruhan Piala Dunia tersebut?

Malah, manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Judi bukan untuk dijadikan budaya yang halal dalam masyarakat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, GPMS Selangor merasakan masih belum terlewat untuk menarik semula lesen yang telah diberikan.

Sesuatu yang haram dari segi agama tidak boleh dihalalkan melalui apa jua tindakan dan justifikasi. Apakah selepas ini kerajaan akan mengeluarkan lesen pelacuran pula kerana mengambil alasan yang sama bagi membendung aktiviti pelancuran haram?

Tuesday, May 11, 2010

SELAMAT HARI GURU: ‘Guru Pembina Negara Bangsa’

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor (GPMS-Selangor) ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di Malaysia.

Peranan dan tanggungjawab sebagai seorang guru amatlah mulia dan tidak ternilai harganya. Profession guru sebagai seorang pendidik dan pengajar tidak boleh disamakan dengan profession yang lain. Pengorbanan dan perjuangan guru adalah semata-mata untuk melihat anak bangsa mereka berjaya di masa hadapan. Pendidikan adalah asas yang sangat penting untuk melahirkan modal insan yang diperlukan oleh negara dan untuk menentukan arah tuju negara dalam menghadapi arus pembangunan.

Melihat kembali kepada falsafah pendidikan iaitu untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Merealisasikan falsafah ini memerlukan satu usaha yang menyeluruh dan kerjaya sebagai seorang pendidik ini memerlukan individu yang ikhlas dalam menyebarkan ilmu.

Maka atas semangat inilah guru-guru perlu mencerna dan menghayati tema hari guru pada tahun ini ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan.

Tema ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana dalam era globalisasi dan K-ekonomi, negara kita terpaksa bersaing dengan negara lain di atas dasar kualiti. Kita tidak mempunyai pilihan, melainkan berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang amat mengutamakan kualiti dalam setiap pekerjaan mereka.

Justeru, tidak hairanlah jika Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberikan penekanan yang begitu tinggi terhadap bidang pendidikan. Reformasi pendidikan yang ingin beliau bawa diharap dapat melahirkan generasi masa hadapan yang betul-betul boleh mengangkat Malaysia ke suatu tahap yang lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Dalam hal ini, kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa guru merupakan golongan yang berada di barisan paling hadapan dan merupakan pemangkin untuk memastikan hasrat ini menjadi kenyataan.

Segala ini bermaksud, jika cabaran globalisasi menuntut agar rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, lebih berkemahiran, lebih berdisiplin dan lebih mengutamakan kualiti, maka tuntutan terhadap golongan guru sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan adalah jauh lebih hebat.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor berharap agar golongan pendidik ini perlu ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru. Guru mesti sedia berkorban untuk meningkatkan darjat pendidikan anak bangsa selain melaksanakan kewajipan terhadap anak muridnya. Semasa pelajar berada di sekolah, menjadi tanggungjawab guru melatih, mengajar dan memupuk nilai-nilai murni termasuk hubungan kekeluargaan, kemesraan dan keikhlasan dalam diri pelajar yang semakin terhakis. Adalah menjadi harapan semua, agar golongan pendidik melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan.

Memang tidak dinafikan kesan yang dibawa oleh guru di Malaysia amatlah besar. Kita berbangga dengan status Malaysia di persada antarabangsa dan kejayaan yang kita kecapai selama ini. Namun kejayaan besar yang kita kecapi ini, ilmu yang kita ada ini, kesedaran yang kita alami ini, semuanya bermula dengan insan yang bernama guru. Mereka adalah insan yang tidak kenal erti penat lelah, sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak bangsa pada masa hadapan.

Selamat Menyambut Hari Guru.

Monday, May 10, 2010

Penerapan Budaya Kerja Islam Tangani Gejala Rasuah

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Selangor menyokong gesaan Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil agar SPRM membuat kajian dan risikan di sektor-sektor tertentu yang berpotensi berlakunya rasuah bagi membolehkan hasil siasatan itu digunakan untuk rujukan.

Dalam masa yang sama, GPMS Selangor juga melihat masalah rasuah ini boleh ditangani dengan mempertingkatkan penerapan budaya hidup kerja Islam agar rasuah dapat ditangani dan dibanteras dalam jangka masa panjang.

Kita faham, tanggungjawab membanteras rasuah ini tidak seharusnya terbeban kepada SPRM sahaja. SPRM tidak mampu bertindak tanpa maklumat yang mencukupi dan kerjasama oleh semua pihak terutamanya saksi-saksi kes rasuah.

Sehubungan dengan itu, janganlah kita hanya mengharapkan usaha-usaha yang dijalankan oleh SPRM semata-mata, sebaliknya usaha-usaha berterusan untuk menangani gejala ini memerlukan komitmen semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) dan orang awam lain.

Thursday, May 6, 2010

Jangan politikkan isu Aminulrasyid (Sinar Harian)


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor semalam, mengingatkan masyarakat terutama parti politik agar tidak :mensensasikan dan mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi masing–masing ke atas kematian Allahyarham Aminulrasyid Amzah, semalam.

Lawatan ke rumah Allahyarham itu diketuai Timbalan Presidennya, Rosdi Amir bersama barisan Ahli jawatankuasa GPMS Negeri Selangor yang lain.

Rosdi turut memaklumkan bahawa mereka bersedia menawarkan khidmat peguam pemerhati kepada keluarga remaja tersebut.

“Tawaran itu dibuat untuk menyalurkan maklumat sebenar sekiranya terdapat prosiding mahkamah bagi memastikan kes berkenaan tidak dimanipulasikan atau disensasikan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya

“Tujuan GPMS Selangor datang ke mari kerana kami ingin tahu sendiri lebih lanjut mengenai kedudukan sebenar kerana semua tahu bahawa pelbagai pihak membuat spekulasi tanpa usul periksa dan ini satu ketidakadilan kepada keluarga mangsa,” katanya pada sidang media selepas melawat ibu mangsa di sini, semalam.

“Hasil pertemuan dengan ibu mangsa kami mendapati ada sesuatu yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya tidak timbul cerita–cerita yang tidak tepat kerana kami beranggapan isu ini membabitkan maruah Allahyarham dan keluarga mangsa sendiri,” katanya.

Rosdi juga meminta masyarakat supaya menghentikan cerita tanpa gambaran sebenar, terutama melalui laman blog supaya kita tidak meletakkan satu tanggapan dan persepsi negatif terhadap keluarga mangsa.